Blog Berita Ringkas

Just another WordPress.com site

>Diskaun saman trafik 50% dilanjutkan hingga 10-3-2011

>Sudahkah anda menjelaskan saman trafik PDRM anda? Jika anda tidak pasti bahawa anda mempunyai saman ataupun tidak, lebih baik anda semak secara online ataupun sms terlebih dahulu. Ini kerana anda berpeluang mendapat diskaun 50% jika menjelaskan saman sebelum 10/3/2011.

KUALA LUMPUR: Selepas sehari lenggang, semua pejabat dan balai polis trafik di seluruh negara kembali sibuk semalam, sebaik keputusan Kabinet melanjutkan tempoh bayaran saman diskaun sehingga 10 Mac ini diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tinjauan Berita Harian petang semalam mendapati hampir semua pejabat pos, Kaunter Trafik di Bukit Aman dan Balai Polis Trafik di Jalan Tun HS Lee di sini sesak dengan orang ramai untuk membayar saman masing-masing.
Kebanyakan mereka yang ditemui lega dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh bayaran saman diskaun itu selama sembilan hari lagi selepas kecewa tidak dapat melaksanakannya sebelum 28 Februari lalu.

Sehingga kelmarin, hampir 18 juta saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) belum dilunaskan daripada jumlah keseluruhan hampir 50 juta yang dikeluarkan sejak tahun 2000. Jumlah itu membabitkan 17.3 juta saman yang dikeluarkan polis dan 432,671 saman JPJ. Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk 839,361 saman lalu lintas dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hishamuddin pada sidang medianya jam 2 petang semalam di Putrajaya, berkata kerajaan membuat keputusan melanjutkan tempoh itu bagi memberi peluang kepada pesalah menjelaskan saman masing-masing, selain banyak rayuan diterima.

“Ada individu mendakwa mahu menjelaskan kompaun dan sudah ke balai polis tetapi tidak dapat berbuat demikian, walaupun kaunter dibuka hingga ke lewat malam tempoh hari.
“Malah, ada aduan dan pertikaian mengenai kesahihan saman dikeluarkan kerana ada antara mereka mendakwa tidak menggunakan kenderaan yang direkodkan serta pelbagai alasan lain.

“Berikutan itu, saya membawa perkara ini ke pengetahuan Kabinet pagi tadi (semalam) dan keputusan dibuat supaya diskaun 50 peratus untuk membayar saman dilanjutkan sehingga 10 Mac ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan orang ramai yang memiliki saman yang dikeluarkan sebelum 1 Disember lalu, berpeluang menikmati insentif 50 peratus diskaun dan jika gagal dijelaskan sehingga Isnin lalu, nama mereka akan disenaraihitamkan dan akan menghadapi masalah memperbaharui cukai jalan.

Hishammuddin bagaimanapun menegaskan lanjutan tempoh bayaran kompaun itu adalah muktamad.

Susulan pengumuman itu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof pada sidang medianya di Bukit Aman petang semalam berkata, bermula hari ini tempoh operasi semua kaunter bayaran saman trafik di seluruh negara akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 10 malam, termasuk pada Sabtu dan Ahad.

Beliau menasihati orang ramai menggunakan ‘peluang kedua’ ini dan tidak lagi menunggu sehingga saat akhir bagi menjelaskan saman mereka bagi mengelak pelbagai masalah, termasuk gangguan pada sistem komputer apabila orang ramai bersesak-sesak membuat bayaran.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, pula berkata pihaknya sudah membuka semua kaunter sejak semalam dan menjangka jumlah yang datang untuk membayar saman akan meningkat mulai hari ini.

Sementara itu, pemandu pelancong, Lim Yoon Yew, 38, yang tiba di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang semalam untuk menjelaskan saman tertunggaknya, terkejut apabila dimaklumkan nombor giliran sudah habis.

“PDRM sepatutnya melanjutkan operasi kaunter sehingga hingga jam 10 malam, termasuk menempatkan pegawai dan anggota bekerja lebih masa sepanjang tempoh pemberian diskaun. Ini membolehkan orang ramai menjelaskan saman, selain mengelak masalah kesesakan di kaunter,” katanya.

Ahli perniagaan, Mohd Ridwan Yunus, 40, juga bersetuju dengan cadangan PDRM melanjutkan tempoh bayaran sehingga lewat malam kerana sebahagian besar pesalah trafik bekerja dan sukar untuk menyelesaikan urusan itu ketika waktu pejabat.

Ridwan yang datang seawal jam 10 pagi semalam juga kesal kerana hanya tiga kaunter semakan dan bayaran dibuka.

Sumber: Berita Harian

Semak saman trafik PDRM secara online

Nota Dahi: Lebih baik anda semak terlebih dahulu bahawa anda mempunyai saman ataupun tidak. Jelaskan saman anda sebelum 10/3/2011 sebelum nama anda disenarai hitamkan dan bagi mengelakkan lebih banyak masalah yang akan timbul. Aku baru sahaja menjelaskan saman berjumlah RM150 selepas diskaun beberapa hari yang lepas walaupun saman tersebut bertarikh bulan 6 tahun lepas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: