Blog Berita Ringkas

Just another WordPress.com site

>Sinopsis teater muzikal Terima Kasih Cinta

>BAGI mereka yang pernah menyaksikan filem Cinta arahan Kabir Bhatia pada 2008, tidak sukar untuk memahami keseluruhan jalan cerita pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta (TKC), yang diilhamkan daripada filem terbabit.

TKC yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sehingga 6 Mac ini boleh dikatakan sebagai pementasan broadway tempatan yang menyajikan 21 lagu menarik. Muzikal yang mempertaruhkan jalan cerita menarik berkaitan lima kisah cinta arahan Pat Ibrahim nyata bergantung kepada kekuatan lagu yang dinyanyikan sepanjang persembahan, bagi menarik perhatian penonton. Kekuatan itu pula hasil pemilihan pelakonnya yang dianggap baik.

Kecuali Tony Eusoff yang turut muncul dalam versi filem, pelakon lain yang menjayakan muzikal ini ialah Latif Ibrahim, Safura, Norish Karman, Vince Chong, Nadia Aqilah, Shajiry Damery, Farahdhiya, Deja Moss, Anding Indrawani dan Diddy Hirdy.

Jika Datuk Rahim Razali hebat sebagai Cikgu Elyas, yang mengidap penyakit pelupa, dalam filem Cinta, TKC pula mempertaruhkan Latif Ibrahim yang turut dilihat sebagai antara tonggak utama kekuatan pementasan ini. Suaranya saja sudah cukup memukau penonton, tatkala penyanyi malar segar itu menyampaikan lagu pertama, Permata Untuk Isteri, nyanyian asal Kopratasa.

Gandingannya bersama Safura dalam menyampaikan kisah cinta luar biasa berjaya menonjolkan keserasian yang kuat, apatah lagi masing-masing memiliki nada vokal cukup merdu.

Pengalaman bertahun-tahun dalam lakonan nyata membantu kedua-dua artis ini menghayati watak dengan baik, yang membolehkan penonton berasakan sama segala emosi yang bergelodak dalam jiwa kedua-dia watak ini.

Pelakon lain turut memberikan persembahan yang harus dipuji. dengan Anding, Shajiry, Vince, Tony dan Diddy seakan lebih menyerlah, dari segi nyanyian, berbanding pelakon wanita yang turut menjayakan teater ini.

Antara lagu yang dialunkan pada pementasan itu, dengan gubahan semula oleh pengarah muziknya, Roslan Aziz, ialah Permata Untuk Isteri (Kopratasa), Dia (Sheila Majid), Seribu Impian (Casey), Selanjur Bercinta (Aisyah), Impian Anak Jalanan (Kembara), Bimbang Terluka Lagi (Noorkumalasari/Sudirman), Cinta (Misha Omar/Jaclyn Victor), Kau Ilhamku (Man Bai), Belaian Jiwa (Carefree) dan Sejati (Wings).

Turut didendangkan ialah Kalimah Cinta (Amy Search), Mata (Noorkumalasari), Janji Manismu (Aisyah), Duniaku (S Ahmad), Sekian Lama (Siti Nurhaliza), Berkorban Apa Saja (P.Ramlee), Itu Kamu (Estranged), Perpisahan (Anuar Zain), Gemilang (Sheila Majid), serta dua lagu baru, Terima Kasih dan Kuasa Cinta.

Bagaimanapun, TKC yang disajikan kepada wakil media pada Sabtu lalu dilihat agak lemah dari segi penggunaan set. Penonton berasa cepat bosan apabila set kekal digunakan dari awal hingga akhir. Biarpun konsep setnya hampir sama dengan set pementasan teater antarabangsa seperti West Side Story, namun keberkesanan konsep itu gagal dirasai.

Jika diikutkan memang sukar untuk menggambarkan sesuatu babak di setiap satu lokasi seperti mana yang dihasilkan menerusi filem Cinta, namun peranan pencahayaan sepatutnya mampu membantu. Sedihnya, pencahayaan juga gagal berfungsi dengan baik apabila banyak babak sukar difahami penonton atas kegagalan pencahayaan menggambarkan sesuatu situasi itu.

Gambar barisan pelakon yang menjayakan teater muzikal Terima Kasih Cinta
Sinopsis teater muzikal Terima Kasih Cinta

MUZIKAL Terima Kasih Cinta memaparkan lima cerita cinta yang digarap untuk meraikan kehebatan cinta yang wujud di sekeliling kita.

Haris seorang lelaki yang selalu memikirkan jalan terbaik untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa buat keluarganya. Baginya, keluarga ialah segala-galanya. Berjayakah Haris mencurahkan kebahagiaan yang diidam-idamkan isterinya, Airin dan anaknya?

Rubiah pula seorang wanita cekal yang mengorak langkah meneruskan pencarian cintanya, lalu bertemu seseorang yang dianggapnya sebagai terbaik buat dirinya, bagi mengubat kesepian. Namun terubatkah kesepian di hati Rubiah?

Sementara itu, Azlan memiliki segala-galanya, tetapi bukan cinta. Dia hartawan yang sering tertanya-tanya apakah cinta mesti menjadi pelengkap sebuah kehidupan. Kemewahan belum tentu dapat membeli cinta. Terjawabkah setiap persoalan Azlan dalam pencariannya melengkapkan sebuah kehidupan?

Dian seorang wanita yang terperangkap dalam kemelut cinta. Namun tidak mudah baginya untuk menduakan kasih sayangnya kepada seorang adik, Dani, yang tidak pernah menghargai kasih yang dicurahkan. Terjeratkah Dian dalam pilihan, antara cinta dan pertalian darah?

Manakala Arianna seorang wanita jujur yang mengejar cintanya dengan harapan menggunung tinggi, Apakah yang dikejar Arianna hanyalah bayangan sehingga dia terlupa dengan apa yang ada di depan mata. Bertemukah Aryana pada lelaki jujur dan setia yang dicari-carinya selama ini?

Info tambahan teater muzikal Terima Kasih Cinta

1. Dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya, mulai 19 Februari hingga 6 Mac 2011.

2. Antara pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Latiff Ibrahim, Safura, Deja Moss, Farahdhiya, Shajiry, Nadia Aqilah, Vince dan Tony Eusoff.

3. Tiket berharga RM30 hingga RM250 boleh didapati di http://www.ticket2u.biz.

Video klip Afgan – Terima Kasih Cinta

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: